Sunday, April 5, 2009

PPSMI: Isu dan Pandangan dari sudut Teknologi Pendidikan

Hasrat Kerajaan dalam Wawasan 2020 adalah untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif yang mampu mengembangkan produktiviti. Ia hanya boleh dicapai dengan pengetahuan teknologi serta berfikiran kritis dalam menghadapai cabaran di abad ke-21. Penubuhan MSC (Koridor Raya Multimedia - Multimedia Super Corridor) dan Sekolah Bestari pula adalah sebagai merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Negara bagi mewujudkan masyarakat berilmu, berpengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri.

Sejak pelaksanaan sistem komputer pada tahun 1966, Malaysia telah didedahkan kepada pelbagai inisiatif untuk memastikan penggunaan dan penerapan ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi-Information and Communication Technology) ke dalam pelbagai bidang seperti perniagaan, industri pendidikan dan seluruh kehidupan. Era ICT adalah era “pengetahuan berinformasi“. Era ICT memastikan banyak peluang diberikan untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk masyarakat berpengetahuan ini termasuklah mengurangkan jurang digital yang wujud bagi seluruh masyarakat Malaysia (Chan, 2002). Apakah sokongan yang kerajaan berikan untuk melaksanakan rancangan ini? Ini termasuklah menyediakan prasarana makmal komputer kepada beribu-ribu buah sekolah di Malaysia. Sebanyak 2 748 makmal komputer telah beroperasi sepenuhnya sejak Mac 2004(Berita Harian). Manakala pemberian peralatan multimedia kepada 9 533 buah sekolah menengah dan rendah pada akhir 2003 adalah bagi meneruskan pelaksanaan projek ICT. Peralatan yang dibekalkan termasuklah komputer notebook, projektor paparan cecair kristal (projektor LCD), troli, skrin dan pencetak laser.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengkhususkan segala usaha terhadap penggunaan ICT adalah sebagai alat yang membantu dalam memperkembangkan kurikulum, memperkaya ilmu pedagogi, memperluas lagi strategi serta kaedah pengajaran dan pembelajaran. KPM percaya perancangan dan pelaksanaan yang teratur dalam ICT akan menggalakkan perkembangan teknologi khususnya teknologi komputer dan maklumat yang turut mengubah sistem pendidikan di Malaysia, baik dari segi pelaksanaan mahupun dari segi kurikulum. Penubuhan MSC dan pelaksanaan Sekolah Bestari merupakan langkah kerajaan untuk memastikan perkembangan teknologi maklumat dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sistematik di dalam bidang pendidikan (Berita Harian).

Empat aplikasi utama ICT dalam pendidikan menurut Mutagahywa & Mbwette (2000) adalah:

(i) Pembelajaran Pengantar Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICTML- Information and Communication Technology Mediated Learning);(ii) Akses kepada maklumat melalui Internet/Intranet;(iii) Pengurusan Sistem Maklumat Pendidikan (EMIS- Educational Management in Information System) serta automasi pejabat pendidikan sebagai sokongan perancangan dan pengurusan pendidikan; dan(iv) ICT dalam pendidikan jarak jauh dan pendidikan sepanjang hayat.

Menurut Chan (2002) teknologi bukanlah dilihat sebagai “vitamin” yang boleh menjadi faktor pemangkin dalam membaikpulih pendidikan; bukan juga suatu mata pelajaran lain dalam kurikulum tetapi hanya menunjukkan sesuatu alat kepada murid yang mungkin akan digunakan sebagai persediaan dalam bidang pekerjaan. Teknologi hanyalah sekadar perantara untuk menimbulkan seronok, menarik dan mempunyai interaksi yang bermakna dalam membantu dan menyokong proses pembelajaran. Namun keberkesanan dan kebestarian sesuatu pengajaran masih banyak bergantung kepada faktor manusia iaitu guru yang membuat perancangan (Nor Azilah ,1998 ; Ismail, 2002).

Sejak 1986, Kementerian Pelajaran telah mengatur beberapa projek penyelidikan khusus untuk mengkaji kesesuaian dan keberkesanan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Usaha perancangan dan pelaksanaan penggunaan ICT di sekolah terus diperluas hingga membabitkan kira-kira 10,000 buah sekolah rendah dan menengah seluruh negara untuk peluasan Sekolah Bestari (MDC). Kerajaan juga berharap pelaksanaan ini perlu diperluaskan agar relevan dengan aplikasi perdana Koridor Raya Multimedia yang menjadi pemangkin kepada perkembangan dan pembangunan industri berasaskan teknologi .
Isu dan Pandangan

Guru memikul tanggungjawab berat dalam memastikan murid mengalami suasana pembelajaran yang memberangsangkan. ICT merupakan alat yang strategik yang dapat memperkaya suasana pembelajaran (Abang Ahmad, Hong & Aliza, 2001). KPM telah membekalkan peralatan multimedia kepada 9 533 buah sekolah secara berperingkat pada tahun 2003 untuk digunakan oleh guru yang mengajar Sains dan Matematik sejajar dengan pelaksanaan mata pelajaran itu diajar dalam bahasa Inggeris.

Mengikut perancangan KPM, teknologi canggih itu membolehkan semua sekolah terutama luar bandar memperoleh prasarana yang mencukupi demi sokongan terhadap usaha menerapkan ICT dalam pendidikan. KPM telah merangka tiga polisi untuk penerapan ICT dalam pendidikan iaitu pertama; ICT kepada semua murid untuk mengurangkan jurang digital antara sekolah-sekolah di Malaysia, kedua; menekankan peranan dan fungsi ICT sebagai alat dalam proses pengajaran dan pembelajaran, sebagai sebahagian subjek dan sebagai subjek utama, ketiga; memperluas penggunaan ICT dalam semua pengurusan termasuk pemprosesan borang, pengurusan jadual waktu, pengurusan sistem maklumat, perancangan pengajaran dan urusan kewangan (Chan, 2002).

Penggunaan komputer dalam bilik darjah oleh guru yang bersikap positif banyak menentukan keberkesanan tranformasi sistem pendidikan ke era ICT. Ini ditambah lagi dengan insentif oleh beberapa agensi kerajaan dalam memperkembangkan ICT ke seluruh sekolah-sekolah di Malaysia. Menjelang 2010, dijangkakan 10,000 sekolah rendah dan menengah akan menjadi Sekolah Bestari yang melibatkan 5.8 juta murid dan 450,000 guru. Untuk pelaksanaan sesuatu projek, KPM mengenalpasti bahawa latihan adalah aspek utama menjayakan ICT dibawa ke dalam bilik darjah. Aspek lain inisiatif ICT adalah projek makmal pengkomputeran serta program pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (ETeMS). Inovasi ini amat penting dalam pengajaran Sains dan Matematik kerana ia akan melibatkan kemahiran bertutur dan menulis dengan tatabahasa yang betul. Komponen ini penting demi menjayakan program ETeMS untuk menggalakkan guru memperoleh bahan pengajaran secara on-line dan bercetak untuk menambah pengetahuan tentang kaedah pengajaran terkini untuk digunakan di dalam bilik darjah.

KPM juga telah menggariskan beberapa strategi untuk memastikan objektif ICT dalam pendidikan tercapai melalui beberapa kaedah (Chan, 2002):

(i) Persediaan yang sesuai dan infrastruktur dan peralatan ICT yang teruji kepada semua institusi pendidikan.(ii) Mengeluarkan Kurikulum dan penilaian ICT serta penekanan dalam integrasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran.(iii) Mempertingkat pengetahuan dan kemahiran ICT pada muriddan guru.(iv) Menggandakan penggunaan ICT dalam pengurusan pendidikan.(v) Mempertingkat segala penyelenggaraan dan pengurusan peralatan ICT di semua institusi pendidikan.

Walau bagaimanapun, perkembangan ini seharusnya selari dengan peranan guru yang seharusnya menjadi pemangkin utama ke arah menjayakan projek Sekolah Bestari. Penggunaan teknologi seharusnya dapat memberi pelbagai inovasi baru kepada guru dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang memberangsangkan untuk murid. Namun menurut Imran (2000), penggunaan komputer di kalangan guru yang sudah menghadiri kursus-kursus Sekolah Bestari masih di tahap rendah. Hal yang sama juga diketengahkan oleh Muhammad Zawawi (2003) yang mengatakan isu kemahiran komputer di Sekolah Bestari masih menjadi masalah.

Walaupun perkembangan penggunaan alat teknologi di sekolah-sekolah rendah dan menengah di Malaysia agak maju, penggunaan dan keberkesanan sesuatu alat masih belum dapat dipastikan kerana terdapat kepelbagaian dari segi penggunaan, penerimaan keperluan dan keberkesanan sesuatu peralatan (Rozhan & Ibrahim, 1989). Hal ini memerlukan kajian yang berterusan memandangkan penggunaan teknologi pendidikan ini sentiasa menunjukkan perkembangan dari semasa ke semasa (Underwood & Underwood, 1990). Merill (1986 ) pula mengatakan ditakuti sekolah membeli komputer yang mungkin ketinggalan zaman, tiada sumber kewangan untuk membaikpulih peralatan, peralatan yang rosak atau kemahiran literasi komputer tidak diintegrasikan dalam pengajaran dan pembelajaran. Masalah perolehan komputer pula menjadi alasan utama mengapa tahap penggunaan komputer di kalangan guru adalah rendah (Muhammad Zawawi, 2003).

Sikap terhadap penggunaan sebenar komputer di kalangan guru seperti yang dicatat oleh beberapa penyelidik mendapati guru-guru yang berpengalaman mengajar mempunyai sikap yang positif terhadap penggunaan komputer (Abang Ahmad, Hong & Aliza, 2001). Guru juga dilihat mampu mengubah proses pembelajaran melalui kemudahan yang menggalakkan dan canggih di sekolah-sekolah Bestari seperti makmal komputer lengkap dengan Internet untuk memperoleh bahan pengajaran melalui Internet (Muhammad Kamarul, 2003). Komputer dikatakan dapat meringankan beban serta kekangan yang wujud dalam pembelajaran tradisi yang selama ini menggunakan buku teks, kapur dan papan hitam (Hong, 1998). Komputer dapat memberi kesan terhadap corak pendidikan yang mampu menarik minat murid dengan persembahan yang interaktif dan dinamik (Baharuddin, Manimegalai & Rio Sumarni, 2001). Teknologi seperti multimedia dan hipermedia menggalakkan proses konstruksi melalui interaksi dengan objek atau simbolik. Aspek hipermedia juga dapat membantu corak ingatan iaitu pengekalan informasi dapat ditingkatkan daripada 20 % melalui proses pendengaran sahaja berbanding dengan 75 % daripada proses penglihatan, pendengaran dan perbuatan (Heinich et al., 1996).

Tidak kurang juga sikap negatif terhadap komputer menjadi kekangan dalam melaksanakan literasi komputer di sekolah terutamanya dalam menerapkan ilmu teknologi tersebut dalam kurikulum. Tentangan guru terhadap integrasi komputer dalam bilik darjah seperti tidak mahu dan takut menggunakan komputer, membiarkan murid mencari maklumat sendiri, takut menggunakan komputer dan peralatan multimedia serta tiada galakan daripada pihak pentadbiran merupakan halangan terhadap menjayakan Sekolah Bestari (Zoraini Wati, 1997; Nor Azilah,1998; Imran, 2000; Hasnah, 2002; Muhammad Zawawi, 2003).

Umumnya masyarakat telah sedia maklum bahawa teknologi boleh menjadi agen utama dalam pembentukan pengetahuan dalam proses pendidikan seseorang individu (Seemann, 2003), menjadi alat untuk menyelesaikan masalah (Ismail, 1990) serta boleh memperbaiki struktur kegiatan pembelajaran (Kozma, 2000a; Abang Ahmad, Hong & Aliza, 2001) dan memperbaiki kualiti pendidikan (Zoraini Wati, 1991). Mengapakah halangan ini masih kukuh lagi di kalangan guru-guru?

Persepsi guru yang sebenar terhadap penggunaan komputer boleh mempengaruhi faktor kejayaan atau kegagalan bagi sesuatu program literasi komputer untuk murid di sekolah. Walaupun memberikan nilai yang kecil, kajian daripada seluruh dunia mengambarkan guru-guru telah cuba menerapkan teknologi ICT di dalam bilik darjah (Kozma, 2003). Namun, jika penggunaan komputer di sekolah hanya untuk kerja-kerja pengkeranian dan pengurusan bilik darjah, teknologi ini tidak akan memberi kesan dalam meningkatkan pengajaran dan pembelajaran (Nor Azilah & Zarina, 1997; Nor Azilah 1998; Imran, 2000). Adalah menjadi satu kemahiran penting seseorang murid kelak bagi mengharungi dunia pekerjaan serta berpengalaman dalam literasi komputer (Nor Azilah, 1998). Ia termasuk pengetahuan teknologi maklumat yang mengintegrasi kemahiran aplikasi komputer untuk menghasilkan generasi yang celik IT. Jadi kemahiran guru dalam era teknologi maklumat harus dapat digunakan di dalam bilik darjah agar dapat merealisasikan wawasan kerajaan Malaysia terhadap IT (MSC, 2002).

Agak menarik jika dilihat isu penggunaan peralatan multimedia terutamanya komputer dalam pendidikan sebagai salah satu cara penyampaian bahan pengajaran yang hampir diketepikan kerana status jarang digunakan. Ini dinyatakan oleh Hannafin dan Savenye (1993) yang mendapati guru-guru hanya menggunakan komputer sesekali sahaja dan selalunya terhad kepada menguruskan bilik darjah atau membuat soalan latihan. Becker (1991) pula dapat mengesan kira-kira 60 % guru sekolah menengah yang diselidiki untuk pengajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris tidak pernah menggunakan komputer di dalam bilik darjah. Hal inilah yang menjadi sebab mengapa kajian ini ingin dilakukan memandangkan isu keengganan menggunakan komputer akan menjejaskan perlaksanaan dan perluasan sekolah Bestari di Malaysia. Daripada temubual rambang yang dijalankan bersama guru-guru sekolah rendah pengkaji mendapati beberapa perkara yang boleh diketengahkan dalam kajian ini iaitu sikap positif guru-guru terhadap penggunaan komputer. Banyak guru mengatakan penggunaan peralatan multimedia sangat menggalakkan motivasi murid untuk belajar. Guru sudah tidak berasa takut dan bimbang serta sangat berminat dan berkecenderungan tinggi untuk menggunakan komputer.

Selain masalah kerosakan komputer riba, masalah penyelenggaraan dan penyimpanan alat juga ditimbulkan oleh guru. Bagi sekolah yang baru, masalah pengedar atau penjual komputer juga menjadi masalah dalam mengeluarkan lesen perisian komputer untuk sekolah. Rata-rata kebanyakan sekolah telah mempunyai makmal komputer sendiri dan peralatan multimedia diselenggara oleh pengurus teknologi atau guru sumber manakala guru-guru dibawah program PPSMI (ETeMS) pula menjaga komputer riba masing-masing sendiri.
Penggunaan Komputer di Sekolah

Penggunaan komputer bermakna menggunakan komputer dengan cara yang efektif dan berkesan juga membolehkan murid belajar menggunakan kemahiran komputer dengan cara yang betul. Seseorang guru yang bijaksana dalam abad ke-21 harus mahir dalam reka bentuk dan menyampaikan pengajaran harus mampu menyesuaikan sumber yang tiada batasan dalam mencapai hasrat kurikulum (Mowat, 2003). Bagaimana guru di abad ke-21 ingin menggunakan komputer di sekolah adalah suatu cabaran yang sangat besar dalam pembelajaran murid (Dockstander, 1999).

Antara faktor yang penting integrasi teknologi komputer di dalam bilik darjah ialah mendalami kehendak kurikulum, agar tidak ketinggalan dalam era teknologi maklumat tanpa batas, murid menjadi lebih bermotivasi melalui teknologi, murid dapat mengembangkan literasi komputer melalui proses pembelajaran dan murid juga dapat menganalisis maklumat daripada dunia luar dan mengaplikasikannya dalam dunia akademik (Baharuddin et al., 2000; Dockstader, 1999; Sparague et al.,1998; Williams, 1998;Underwood & Underwood, 1990).

Di Malaysia, kesediaan guru dalam mengaplikasikan cara pengajaran yang berasaskan teknologi moden dan canggih merupakan asas kejayaan penubuhan sekolah bestari (Jamalludin, Zaidatun & Manimegalai, 2002). Selain itu, terdapat juga laporan mengatakan penggunaan komputer sebagai alat bantu mengajar dapat memberi kesan terhadap kepercayaan untuk berjaya dan dapat memberi motivasi kepada murid (Solvberg, 2003) dan boleh memperbaiki hasil kerja seseorang murid dalam bilik darjah (Pritchard, 1997) .
Tahap Penggunaan Peralatan Multimedia di kalangan Guru

Dalam laporan kajian antarabangsa oleh Murphy dan Beggs (2003), tahap penggunaan komputer dalam pengajaran oleh 112 orang guru sekolah rendah di United Kingdom hanya 44%. Manakala 20% guru mengatakan mereka tidak pernah menggunakan komputer dalam pengajaran. Namun dalam kajian yang sama juga, 41% pelajar memberikan respon yang memeranjatkan bahawa komputer tidak pernah digunakan semasa pengajaran oleh guru. Sementara itu, McCannon dan Crews (2000) pernah melaporkan yang guru sekolah rendah masih banyak menggunakan komputer untuk kerja pentadbiran daripada mengintegrasikan penggunaan komputer untuk proses pengajaran.

Selari dengan kajian di Malaysia, satu tinjauan yang dilakukan oleh Imran (2000) mengenai tahap penggunaan komputer di kalangan guru-guru yang telah menerima kursus sekolah Bestari masih rendah. Hanya 50% daripada guru menggunakan komputer sebagai alat bantu mengajar manakala yang lain menggunakan komputer untuk pengurusan bilik darjah dan tugas perkeranian. Noor Shela (2003) juga mendapati sebuah sekolah Bestari di Kedah hanya memberikan nilai 61.5% terhadap penggunaan peralatan multimedia. Ini menunjukkan penggunaan peralatan multimedia masih tidak optimum iaitu 81% daripada sampel kajian tidak setuju menggunakan perisian Power Point dalam pengajaran.

Kajian yang seumpamanya juga pernah dilakukan terhadap 196 guru-guru sekolah di lima buah sekolah kebangsaan di Zon Majidi Johor Bahru oleh Mazlan (2000) yang mendapati tahap penggunaan komputer adalah rendah. Penggunaan yang kerap adalah penyediaan soalan latihan dan peperiksaan. Dengan menggunakan seramai 34 guru sebagai responden dalam kajian Muhammad Zawawi (2003), penulis mendapati tahap penggunaan komputer oleh guru-guru di dua buah sekolah bestari di Johor adalah pada tahap rendah walaupun mereka menyedari bahawa penggunaan komputer adalah satu kaedah pengajaran yang boleh meningkatkan pencapaian pelajar serta ABM yang agak berkesan dalam pengajaran. Walau bagaimanapun Abu Bakar (2003), mendapati tahap penggunaan komputer yang sederhana dimiliki oleh guru-guru Kemahiran Hidup di 24 buah sekolah Menengah dan 10 buah sekolah Rendah di Daerah Batu Pahat Johor.

Selain itu, Rio Sumarni (1996) dan Munirah (1995) juga telah mencatatkan tiada penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran bagi guru Sains dan Matematik dalam kajian masing-masing di Pulau Pinang dan Johor. Sebaliknya di Pasir Puteh, Kelantan, Nordin dan Roslee (2003) mendapati majoriti guru Sains dan Matematik sudah memiliki komputer dan mempunyai budaya ICT positif.

Sokongan pihak Kerajaan

Guru memainkan peranan penting bagi memastikan perisian atau segala peralatan teknologi yang dibekalkan oleh Kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya ketika mengajar. Oleh itu latihan menjadi faktor utama yang banyak dikaitkan dengan penggunaan teknologi ini di kalangan pengguna komputer (Sulaiman, 2001; Fatimah, 2004). Antara program dijalankan oleh Pusat perkembangan Kurikulum di bawah projek penutur jati ialah Penyelaras Bahasa Inggeris Daerah (District English Languge Coordinator) dan Projek Guru Bahasa Inggeris (Project English Teacher), Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (ETeMS).

Objektif perisian penggunaan bahasa Inggeris secara am diperkenalkan untuk memperbaiki tahap penguasaan pelajar dalam bahasa itu, mendorong minat mereka mempelajarinya menerusi bahan interaktif, di samping mengatasi masalah kekurangan guru bahasa Inggeris di luar bandar. Namun kebanyakan program ini ditujukan kepada sekolah luar bandar yang berpencapaian rendah dalam bahasa Inggeris serta dilengkapi dengan makmal komputer yang mempunyai sama ada program Komputer dalam Pendidikan atau Pendidikan Pengkomputeran dan sekolah satu sesi.

Kemahiran IT Guru

Dalam konteks sekolah bestari , kemahiran teknologi maklumat akan menjadi salah satu aspek yang membezakan antara sistem sekolah bestari dengan sistem sekolah yang sebelumnya (Ab. Rahim, 2000). Sekolah Bestari bukan bermakna hanya murid yang pintar di sana, malah cara yang pintar dalam menyediakan peluang untuk murid mendapatkan seberapa banyak maklumat melalui terminal komputer (Baharuddin et al., 2000). Menurut diSessa (2000), literasi komputer boleh adalah suatu inftrastruktur yang paling penting dalam pendidikan untuk membentuk makhluk yang berpengetahuan dan berkemahiran. Ia bukan sahaja hasil daripada proses pendidikan tetapi penggerak utama; seperti jika tidak pandai membaca manakan kita boleh mahir asas matematik, sejarah, sains atau subjek yang lain.

Kebanyakan daripada guru lepasan maktab dan universiti telah menjalani beberapa latihan dan kursus literasi komputer. Kursus ini meliputi komponen komputer, sejarah komputer, asas pengoperasian komputer, perisian aplikasi, pengaturcaraan BASIC dan penilaian perisian (Hong, 2002). Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan samada guru-guru tersebut bersedia menggunakan segala kemahiran komputer dalam pengajaran sejajar dengan misi Wawasan 2020 yang ingin melahirkan generasi Malaysia yang kreatif dan berinovasi. Sebenarnya latihan atau kursus membolehkan guru-guru melaksanakan pengajaran dengan bantuan komputer di samping membina sikap yang positif terhadap komputer.
*Maklumat ditulis untuk kajian pada tahun 2005, sebarang pengunaan semula frasa adalah dengan kebenaran. Dapatkan maklumat terkini daripada rujukan sebenar.